Thursday, August 2, 2007

BASMALAH

TAKRIF BASMALAH

Basmalah ringkasan daripada kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim yang bermaksud dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

SUMBER

Lafaz basmalah terdapat di dalam mazhaf Al-Quran yang mulia iaitu dalam surah An-Naml pada ayat-30, yang bermaksud :

" Sesungguhnya ia (surah) daripada Sulaiman dan sesungguhnya (isi kandungannya) Bismillahir Rahmanir Rahim "

CARA MEMBACANYA

Pembacaan lafaz basmalah ketika hendak melakukan sesuatu pekerjaan yang baik adalah disunatkan lebih-lebih lagi ketika hendak membaca Al-Quran sama ada di permulaan surah atau di pertengahan pembacaan ayat-ayat suci Al-Quranul Karim.

Terdapat sepotong hadis yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :

" Setiap perkara kebaikan (kebajikan) yang tidak digunakan dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim maka amalan tersebut akan terputus (daripada keberkatan)"

MEMBACA LAFAZ BASMALAH DI ANTARA 2 SURAH

Terdapat beberapa imam-imam Qurra' berselisih pendapat mengenai pembacaan lafaz basmalah di antara 2 surah, iaitu :

Imam Kholun, Kisaei, 'Asim dan Ibnu Kasir bersependapat bahawa perlu membaca lafaz basmalah di antara 2 surah di semua surah yang terdapat di dalam mashaf Al-Quran melainkan surah Al-Anfal dan surah At-Taubah(hal ini kerana surah At-Taubah diturunkan ketika sedang berlakunya peperangan sedangkan semua surah yang lain diturunkan dalam keadaan aman).

Imam Hamzah berpendapat bahawa tidak perlu membaca basmalah di antara 2 surah di atas sebab-sebab yang tertentu.

Imam Ibnu 'Amir, Warsy dan Abu 'Amru bersependapat bahawa terdapat 3 jenis cara bacaan di dalam hal ini, iaitu :

(a) Membaca lafaz basmalah di setiap permulaan surah di dalam Al-Quran yang 'Azim.

(b) Menyambung semua surah dalam Al-Quran tanpa membaca lafaz basmalah.

(c) Bersaktah(berhenti sekejap tanpa mengambil nafas yang baru) di antara 2 surah tanpa membaca kalimah basmalah.

Corak pembacaan bersaktah adalah lebih digunapakai oleh golongan yang dinyatakan di atas daripada 2 corak pembacaan yang lain.

Terdapat 4 tempat sahaja yang dibaca dengan bersaktah di dalam Al-Quran oleh imam Ibnu 'Amir, Warsy, Abu 'Amru dan Hamzah, iaitu :

  1. Di akhir surah Al-Muddasir, di awal surah Al-Khiamah.
  2. Di akhir surah Al-Infithor, di awal surah Al-Muthoffifin.
  3. Di akhir surah Al-Fajr, di awal surah Al-Balad.
  4. Di akhir surah Al-'Assr, di awal surah Al-Humazah.
CARA MENYAMBUNG BASMALAH DI ANTARA AWAL DAN AKHIR SURAH

Terdapat 3 jenis corak pembacaan kalimah basmalah di antara akhir dan di awal surah oleh imam Ibnu 'Amir, Abu 'Amru dan Warsy, iaitu :

  1. Berhenti pada setiap akhir surah dan akhir basmalah.
  2. Menyambung akhir surah degan basmalah tetapi berhenti sebelum awal surah.
  3. Menyambung ketiga-tiganya sekali.

No comments: